Tambang LRT, KTMB naik hampir 100 peratus

Rata-rata pengguna terkejut dengan kenaikan tambang pengangkutan awam monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang mana kenaikannya hampir mencecah 100 peratus berkuat kuasa hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Stesen KL Sentral mendapati, majoriti pengguna meluahkan rasa kecewa dan berharap kerajaan mengkaji semula kenaikan tambang tersebut.

Kakitangan swasta, Azizan Mat Ariff, 55, berkata, pengangkutan awam yang pada awalnya disediakan untuk memberi kemudahan kepada rakyat, kini dilihat menjadi beban.

“Sekiranya dahulu orang ramai digesa menggunakan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengurangkan kos hidup, namun apa yang berlaku sekarang tambang pengangkutan awam pula dinaikkan.

“Kenaikan ini sangat mendadak sehingga lebih daripada separuh harga dan saya tidak lihat perkara positif ke atas kenaikan itu, selain membebankan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mazlina Khairuddin, 39, pula berkata, di saat pelbagai barang mengalami kenaikan harga, kenaikan tambang ini tidak sewajarnya berlaku.

“Pelbagai barangan sedang mengalami kenaikan harga seperti kenaikan harga tol dan dengan adanya cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas setiap barangan.

“Dengan penurunan 10 sen harga petrol semalam, ia masih tidak mampu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat dengan menaikkan kadar tambang tinggi terhadap pengangkutan awam hari ini,” kata kerani di sebuah syarikat insurans itu lagi.

Bagi kakitangan swasta, Nor Aini Omar, 57, berkata, dia turut tidak bersetuju dengan kenaikan tambang tersebut sewaktu ekonomi sedang merudum.

“Majoriti pengguna pengangkutan awam ini adalah golongan berpendapatan rendah, kenaikan tersebut hanya akan membuat rakyat terbeban dan tidak mustahil akan mengalami tekanan hidup,” katanya.

Kadar tambang baharu perkhidmatan Komuter KTMB menyaksikan kenaikan daripada 40 sen satu kilometer dengan kenaikan maksimum RM7.10 bagi satu perjalanan manakala LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang dan Monorel RapidKL mengalami peningkatan sebanyak RM1 hingga RM4.40.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puchong Jaya, Nurfatin Nabilah Syainuddin, 15, berkata, beliau terkejut apabila mendapat tahu tentang kenaikan harga tambang tersebut.

“Saya sedia maklum dengan kenaikan tambang yang akan berkuat kuasa hari ini tetapi tidak menyangka kenaikannya sebanyak itu. Kebiasaannya dalam satu perjalanan untuk pulang ke rumah di Puchong saya akan membayar RM1.70 tetapi hari ini dicaj sehingga RM2.40,” katanya yang menggunakan perkhidmatan KTM untuk ke sekolah.

Dalam pada itu, penuntut kolej swasta, Firdaus Hafizi, 19, berkata, pengguna perlu diberi penjelasan yang lebih terperinci daripada pihak berwajib berkaitan peningkatan harga tambang tersebut.

“Jika dahulu kerajaan menjanjikan tidak akan ada kenaikan tambang bagi pengangkutan awam tetapi sekarang kenaikan itu berlaku. Saya sendiri terkejut dengan kadar kenaikan itu.

“Jadi kerajaan perlu memainkan peranan bagi memberi penjelasan kepada rakyat kerana mereka mempunyai hak untuk tahu sebab musabab kenaikan tambang itu supaya pengguna tidak memberontak,” katanya.

PAU 2015 tak terima usul desak Presiden berundur

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, usul yang bakal dibahaskan perwakilan hanya merangkumi ekonomi, pendidikan dan agama.

Beliau berkata, usul yang diterima dari seluruh negara telah disaring dan mengesahkan tiada usul di luar kebiasaan yang diterima untuk dibahaskan perwakilan.

"Semua usul kita dah terima, usul macam usul biasalah.

"Selepas kita saring, usul yang dibangkitkan ialah usul berkenaan ekonomi, agama dan pendidikan… kebanyakan di bahagian-bahagian mesyuarat, saringan yang kita lakukan boleh dikatakan 90 peratus membabitkan ekonomi, pendidikan dan agama.

"Jadi, ini yang kita bentang, lain usul tak ada kita terima," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno, di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Sebelum ini, khabar angin mengatakan usul mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya akan dibawa dalam PAU 2015.

Ia susulan desakan beberapa cawangan yang melihat kredibiliti Najib tercalar, ekoran beberapa isu termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MBD) dan derma RM2.6 bilion.

Pada masa sama, Tengku Adnan menegaskan, Umno tidak akan melakukan sekatan dalam perbahasan perwakilan kali ini.

Sebaliknya, beliau mengingatkan perwakilan untuk tidak menyentuh sebarang isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

"Tak ada… kita tak pernah vetting (sekatan)… boleh bercakap.

"Kita hanya minta, kita Malaysia ini merupakan negara yang berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang bangsa… selalu kita nasihatkan kepada pembahas jangan menyentuh perkara yang akan menyakiti (hati), pengkhususannya bangsa lain.

"Walaupun kita tahu perhimpunan parti-parti komponen BN yang lain ada menegur masalah-masalah Umno, Melayu dan sebagainya, tetapi dikawal.

"Kita minta jangan dibangkitkan perkara-peraka yang sensitif, kerana kita ada satu konsep bersama, iaitu BN, jadi kita nasihatkan mereka jangan mengeluarkan perkataan yang menyakiti hati orang lain di kalangan ahli Umno sendiri dan juga masyarakat Malaysia," katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu. - 03/12/15

Zaid akan didakwa esok

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok, mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan ucapan yang dimuat naik ke blognya pada 2 September lalu.

Zaid didakwa menggunakan aplikasi Internet secara sedar untuk membuat pernyataan dengan niat bagi menyakitkan hati orang lain dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 2.15 petang tadi, dengan ditemani dua peguamnya dan beredar setengah jam kemudian.

Zaid berkata, beliau dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan dan gambar berkaitan blog mengandungi ucapannya kerana menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

"Saya bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Kita dalam negara demokrasi, mesti ada hak untuk menyuarakan pandangan demi kebaikan negara," katanya ketika ditemui media di luar IPD Dang Wangi, petang ini.

Ucapan Zaid itu turut dimuat naik ke blognya www.zaid.my yang bertajuk ‘Rally Behind Tun Mahathir Mohammad’.

Bulan lalu, Zaid dipanggil memberi keterangan berhubung perkara sama dan disiasat di bawah Akta Hasutan. - 03/12/15

Nurul Izzah minta maaf pada rakyat Malaysia

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia terutama keluarga mangsa kekejaman pengganas Sulu yang menyerang Lahad Datu, Sabah yang terkesan dengan penyebaran gambarnya bersama Jacel Kiram di Manila baru-baru ini.

Dengan nada sebak, Nurul Izzah berkata, pertemuan itu bukan atas kapasiti untuk bekerjasama dengan Jacel, tetapi sekadar memenuhi undangan daripada pihak Manila dan kempennya untuk pembebasan ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya rasa amat kesal dan memohon maaf terutama kepada keluarga mangsa, rakyat Sabah dan rakyat Malaysia yang marah dan terkesan dengan gambar tersebut. Tujuh tahun saya berikrar terhadap anasir luar dan dalam negeri dan berusaha sedaya upaya dengan kebolehan yang ada dan keterbatasan saya menunaikan amanah rakyat," ujarnya semasa membela diri selepas usul membawanya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dibentangkan untuk dibahaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Nurul Izzah, beliau konsisten untuk menghalang sebarang anasir luar dan dalam negara serta bersedia bekerjasama dengan kerajaan atas tujuan yang sama.

Semasa di Manila, Jacel, katanya salah seorang daripada 15 jemputan sempena makan malam dan beliau bergambar berkumpulan dengan mereka atas permintaan penganjur dan beliau difahamkan Jacel salah seorang daripada bakal wakil rakyat di negara berkenaan.

Nurul Izzah juga menafikan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang hadir bersamanya juga salah seorang penganjur majlis yang sama.

Rasuah dalam PTD Cameron Highlands bukan khabar angin

Dakwaan rasuah dan berpakat dengan pemaju timbul selepas Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Cameron Highlands memusnahkan sebuah ladang Khamis lalu.

Seorang petani dari Kampung Raja, Kaliyappan Perumal, 33, mendakwa rasuah berleluasa di Cameron Highlands yang mencapai kadar endemik dan jika lewat ditangani akan menjadikannya mustahil untuk diatasi.

Bosan dengan ugutan bertahun dan desakan supaya membayar rasuah, Kaliyappan akhirnya memutuskan sudah tidak boleh lagi menahan karenah terbabit selepas ladang seluas 1.2 ekar miliknya dimusnahkan pihak berkuasa.

Dia mendakwa PTD cuba menghapuskan ladangnya bagi membolehkan pembangunan hartanah dijalankan.

Ketika memberitahu Rakyat Post semalam, dia menunjukkan dokumen bertarikh 27 Ogos 2014 sebagai bukti bahawa pemaju hartanah cuba mengusirnya dari tanah berkenaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen menolak kes pemaju hartanah itu dengan kos.

Kaliyappan mendakwa pemaju hartanah kini cuba mendapatkan tanah berkenaan dengan menggunakan pengaruh PTD.

“Keluarga saya sudah mengusahakan tanah ini selama 63 tahun.

“Selama itu, kami terpaksa membayar pegawai dari PTD untuk memperbaharui lesen operasi sementara (TOL) setiap tahun.

 “Saya membayar sekurang-kurangnya RM50,000 setahun kepada pegawai berlainan di sana,” katanya.

Petani itu berkata, dia tidak faham mengapa TOL itu tidak perbaharui ketika pejabat Menteri Besar sendiri sudah memberi pengesahan terhadap mengesahkan surat permohonan ibunya, Palaniamah Palaniandy, dengan satu surat sokongan bertarikh 14 Mac 2014.

Dia menunjukkan surat yang ditandatangani Setiausaha Sulit, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob iaitu Datuk Hamdan Hussin.

“Kerajaan mesti mengubah sistem di sini kerana pegawai tertentu mempunyai terlalu banyak kuasa.

“Rasuah dalam PTD bukan khabar angin. Ia benar-benar berlaku.

“Malah, saya sudah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua tahun lalu tetapi tiada tindakan diambil,” dakwanya.

Kaliyappan mendakwa, malah, beberapa pegawai berpangkat rendah di PTD memandu kenderaan pacuan empat roda.

“Bagaimana seorang kerani mampu memiliki kenderaan seperti itu? Sudah pasti ada yang tidak kena ketika gaya hidup mereka mengatasi jumlah gaji yang diperolehi. SPRM harus menyiasat perkara ini dari akar umbi.”

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa adalah mustahil untuknya membuktikan dakwaan itu kerana rasuah dibayar secara tunai dan tiada transaksi bank.

“Semua rasuah dibayar secara tunai, kadangkala dimasukkan dalam guni baja, di bawah kotak sayur atau dalam beg di dalam kereta yang tidak berkunci.

“Mereka turut berjumpa di tempat yang dijanjikan lebih awal seperti di kawasan perkuburan,” dakwanya.

Pada masa sama, Presiden Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), Ramakrishnan Ramasamy memberi amaran sekiranya kerajaan gagal bertindak pantas dengan rasuah, badan dan petani tidak bertanggungjawab akan terus mengambil kesempatan terhadap situasi itu.

“Ia mesti dihentikan, sementara masih ada peluang untuk berbuat demikian,” tambahnya.

Ingin menambah sesuatu pada laporan ini? Sila maklumkan melalui komen di bawah. - 02/12/15

SPRM sudah rekod keterangan Jho Low

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merekodkan keterangan ahli perniagaan Low Taek Jho dan Pengarah SRC, Datuk Suboh Md. Yassin Ahad lalu, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Shukri Abdull.

Bercakap pada majlis Makan Malam Sempena 10 tahun Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, beliau berkata, keterangan kedua-dua individu itu direkodkan di luar negara berkaitan kontroversi firma pelaburan negara itu.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Sebelum ini, SPRM telah merekodkan keterangan Pengarah Urusan SRC, Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Kamil.

Sehubungan tu, ketiga-tiga individu penting dari SRC International telah berjaya direkodkan keterangan masing-masing oleh SPRM sehingga kini.

SPRM dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan tidak memerlukan bantunan Polis Diraja Malaysia dan Interpol untuk mengesan ketiga-tiga individu penting itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yakin siasatan kes SRC International Sdn. Bhd. akan dapat diselesaikan akhir tahun ini. - 02/12/15

Saya anggap kata-kata Zahid sebagai jemputan - Tun M

Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang akan bermula pada 8 Disember ini walaupun tidak menerima surat jemputan.

"Saya tidak terima apa-apa surat daripada parti, tapi saya anggap kata-kata dia (Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sebagai satu jemputan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan reka cipta kereta proton di Pusat Kecemerlangan Proton di Subang Jaya.

Dr. Mahathir berkata, kenyataan Ahmad Zahid baru-baru ini bahawa bekas perdana menteri itu patut menghadiri Perhimpunan Agung UMNO boleh dianggap sebagai satu jemputan.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata, Dr. Mahathir perlu hadir kerana ahli parti masih menghormati beliau sebagai bekas presiden UMNO.

Dr. Mahathir berkata, kehadirannya pada perhimpunan itu hanya sebagai tetamu, bukan untuk berucap. - 02/12/15

Mariani meninggal dunia

Primadona Mariani atau Mariam Ismail, 82, disahkan meninggal dunia di kediamannya di Sentul pada 7.32 malam tadi.

Berita sedih itu disahkan sendiri oleh anak pelakon itu, Melissa Saila.

Setakat ini, Melissa ketika dihubungi sedang menguruskan jenazah ibunya. - 02/12/15

1. Dis, 2015

Halau Guan Eng balik Melaka? Kenapa baharu sekarang...

Hendak halau Lim Guan Eng balik Melaka? Kemudian hendak lantik anak tempatan, Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang?

Kenapa baru sekarang hendak halau dan hendak digantikan? Kenapa tidak pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2008 ketika bapanya, Lim Kit Siang meletakkan anaknya itu bertanding di dua kerusi iaitu Parlimen Bagan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Puteh di Pulau Pinang?

Kenapa tidak bantah ketika Kit Siang mengumumkan Guan Eng, bukan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri pada hari pertama DAP mengambil alih kerajaan Pulau Pinang dari Barisan Nasional (BN) pada PRU 12?

Kenapa pula tiba-tiba hari ini mahu nyatakan rasa ketidakpuasan hati dengan pentadbiran Guan Eng? Sedangkan di awal pemerintahannya lagi sudah menampakkan sistem autokratik, bukan demokratik yang dilaung-laungkan selama ini.

Semuanya sudah terlambat. Guan Eng memegang jawatan Ketua Menteri hampir dua penggal pilihan raya. Sukar baginya untuk turun, berhenti atau diberhentikan. Tambahan pula selama tempoh itu, beliau sudah mempunyai ramai pengikut dan penyokong. Sokongannya kuat di akar umbi.

Kon Yeow hanya Pengerusi Perhubungan Negeri. Jawatannya tidak dapat mengatasi hiraki Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP Pusat dan anak kepada Penasihat DAP. Dari segi pangkat dan kedudukan, Guan Eng lebih besar dan berautoriti.

Tetapi kalau mengikut peraturan mana-mana parti politik, dalam UMNO, Presiden sewajibnya menjawat jawatan Perdana Menteri, manakala Pengerusi Perhubungan pula sekurang-kurangnya layak menjadi Ketua Menteri atau Menteri Besar.

Di Kelantan, Mursyidul Am Pas yang juga Pengerusi Perhubungan Pas Negeri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik sebagai Menteri Besar. Apabila beliau meninggal dunia, jawatan itu diberikan kepada Timbalan Pengerusi, Datuk Ahmad Yakub (sekarang Pengerusi Perhubungan Pas Kelantan).

Di Selangor pula, Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim adalah Ketua Perhubungan PKR Selangor, sebelum tempatnya digantikan kepada Mohamed Azmin Ali yang memegang jawatan Timbalan Presiden PKR.

Di negeri-negeri yang diperintah oleh UMNO dan BN juga semua Menteri Besar dan Ketua Menterinya adalah Pengerusi Badan Perhubungan Negeri. Cuma anehnya, DAP melantik orang luar sebagai Ketua Menteri, sedangkan anak tempatan sekadar diberi jawatan Ahli Majlis Eksekutif Negeri.

Apa yang berlaku dalam DAP, khususnya di Pulau Pinang sangat memalukan. Anak tempatannya berjawatan nombor satu dalam parti, tetapi ketua pentadbiran kerajaan negeri diberikan kepada Guan Eng yang berasal dari Melaka.

Isteri dan anak-anaknya tinggal di Melaka. Guan Eng hanya sebatang kara di Pulau Pinang. Tetapi berlagak seolah hanya beliau yang mampu mentadbir negeri itu.

Memang wajar kalau bangkit beberapa suara dari pemimpin akar umbi mendesak Guan Eng supaya balik ke negeri asalnya, Melaka dan menyerahkan jawatan Ketua Menteri kepada yang lebih layak iaitu Kon Yeow.

Keberanian Shamser Singh Thind dari Cawangan DAP Taman Chai Peng wajar dipuji. Tanpa rasa takut, beliau lantang mengkritik dan mencabar Setiausaha Agung DAP itu agar bersikap gentlemen.

Katanya, jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sepatutnya dipegang Pengerusi DAP Negeri (Kon Yeow), bukan Guan Eng yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti di negeri itu.

Kiranya ini adalah satu kejutan besar bagi pemerhati politik apabila jawatan ketua eksekutif kerajaan negeri dipegang oleh mereka yang tidak ada apa-apa jawatan dalam parti di peringkat negeri.

Dibuatnya negeri itu seperti hak milik sendiri. Walaupun parti tahu bapanya adalah pengasas dan penasihat kepada DAP, tetapi tidak bermakna bapa atau anak atau isteri boleh buat apa sahaja termasuk membolot semua jawatan penting dalam kerajaan dan parti.

Ini yang barangkali diluahkan oleh Shamser Singh Thind apabila menjelaskan, Pulau Pinang untuk rakyat Pulau Pinang dan serahkan kepada warga Pulau Pinang untuk memutuskan siapa yang patut memimpin mereka.

Guan Eng patut dengar isyarat yang telah diberikan oleh rakyat Pulau Pinang. Beliau tidak boleh mentadbir kerajaan negeri mengikut kemahuan dan kehendaknya kerana Pulau Pinang mempunyai rakyat yang majoriti cintakan keamanan dan keharmonian sebagaimana yang telah diterapkan oleh kerajaan Gerakan dari BN sebelum ini.

Apabila Guan Eng memegang tampuk pemerintahan Pulau Pinang, banyak perubahan dasar telah dilakukannya yang rata-rata dibuat mengikut kemahuannya bersama barisan anggota Exconya sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat serta beberapa wakil rakyat DAP dan PKR negeri itu.

Lebih jelas dalam isu penambakan laut bagi pembangunan. Pemimpin BN membantah tindakan itu dan disokong sekurang-kurangnya enam wakil rakyat dari Pakatan Harapan.

Walaupun usul yang dikemukakan Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) itu ditolak Speaker DUN Pulau Pinang, tetapi suara tidak puas hati dari rakan Pakatan Harapan jelas menunjukkan sikap protes mereka kepada Guan Eng.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu yang lantang menegur pentadbiran Guan Eng dalam isu penambakan laut telah membuat keputusan drastik meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang.

Yee Cheu yang meletakkan jawatan itu berkuat kuasa 23 November lalu adalah satu-satunya wakil rakyat tunggal dari DAP yang menyokong usul wakil BN dalam isu penambakan laut.

Satu tamparan hebat bagi Guan Eng dalam usahanya untuk terus mengekalkan pentadbiran kerajaan Pulau Pinang pada PRU ke-14 nanti kerana musuhnya bukan lagi dari kalangan UMNO, sebaliknya melibatkan juga daripada penyokong dan pengundi Pas, PKR serta DAP sendiri.

Muhyiddin-Shafie tidak dipecat, elak persepsi pecah sokongan

Kelangsungan parti, kekuatan kerajaan Kelantan dan perpaduan ahli. Itu antara inti pati 'nota cinta' daripada bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Diterima oleh anggota Dewan Harian Pas Pusat petang semalam, Husam memberitahu, pertemuannya dengan pimpinan parti Islam itu berjalan secara dua hala dengan mesra dan baik.

Mengakui berpuas hati dan berterima kasih kepada Pas Pusat kerana menyediakan saluran itu, Husam bagaimanapun tidak mendedahkan perincian perbincangan berkenaan.

Beliau hadir dalam pertemuan yang ditetapkannya itu susulan daripada pendedahannya sebelum ini mengenai tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pernah merancang kerjasama dengan Umno bagi tujuan penubuhan kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap Husam, tetapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu tidak akan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan polemik.

Jelasnya, perkara yang melibatkan urusan dalaman parti dan kerajaan Kelantan akan diselesaikan dengan menggunakan saluran parti, bukannya disebarkan melalui media sosial.

Tuan Ibrahim juga berkata, Jawatankuasa Dewan Harian Pas akan meneliti dokumen dan bukti berhubung dakwaan Husam terhadap kerajaan negeri dan parti dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berkaitan, rata-rata netizen mempersoalkan 'larangan' dikeluarkan Pas Pusat ke atas Husam itu.

Pengguna Facebook, Rohani Rahman berkata, kelemahan kerajaan negeri Kelantan berhubung pelbagai isu yang dibangkitkan Husam dilihat semakin ketara, tetapi pada masa sama rakyat dapat melihat kewibawaan Husam.

"Apa bezanya 'style' pimpinan Pas sekarang dengan Umno? Rakyat yang bijak sudah dapat melihat kegagalan Dewan Harian Pas Pusat menyelesaikan masalah secara telus dan objektif," tegasnya lagi.

Bagi Zafrul Abdullah, kerajaan yang telus dapat diwujudkan apabila adanya teguran terhadap kepincangan yang berlaku dengan tidak meniru Umno yang banyak menyembunyikan penyelewengan.

Menurut pengguna Facebook, Musa Awang pula kerajaan negeri Kelantan perlu mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani masalah rakyat di negeri pantai timur itu sekiranya tidak mahu Husam bersuara.

Membandingkan dengan situasi zaman jahiliah yang menyaksikan kezaliman terhadap individu yang mengkritik pemimpin, Jamaluddin Zakaria menyifatkan rakyat sebenarnya mahukan 'permata asli'.

"Lihat persekitaran kita sekarang, adakah kita sudah kembali ke zaman itu (jahiliah?) Antara kaca dan permata tentu tidak sama kan? Walau suka untuk dibezakan (kaca dan permata), janganlah kami dibodoh-bodohkan dengan permata palsu," sindirnya.

Selain itu, tidak kurang juga kalangan netizen menyindir pemimpin Pas. Antaranya, pengguna Facebook Elain Mashi menulis, "Kamu-kamu ulama berhentilah berpolitik. Politik ni kan kotor". Manakala Azhar Zainal Abidin pula berkata, "Ingat Umno dengan Pas berbeza, rupanya sama je".

Husam dilarang bersuara, netizen kecam PAS

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan bertegas tidak akan membiarkan negara manapun menceroboh ruang negara itu dan hanya takut kepada Allah selepas tentera Turki menembak jatuh pesawat tempur Rusia yang menceroboh ruang udaranya. 

Beliau berkata demikian pada 27 November lalu ketika menyampaikan pidato heroic di hadapan lautan massa di kota Bayburt daerah Timur Laut negara itu.

Katanya, beliau tidak akan membiarkan sesiapapun mengganggu atau merancang terorisme di bumi Turki.

"Berulang kali saya tegaskan, Turki hanya takut kepada Allah yang satu. Turki tidak akan tunduk selain kepadaNya.

"Turki pewaris peradaban yang besar dan kami akan mempertahankan warisan itu dengan memohon kekuatan dari Allah S.W.T.

Sumber yang dipetik dari Turki Al-Yaum itu memetik Erdogan berkata, negara itu tidak akan membiarkan pesawat tempur negara manapun melanggar kedaulatan Turki apa lagi dalam konflik terkini insiden penembakan pesawat Rusia ke atas negara itu.

Apabila Presiden Rusia Vladimir Putin dengan angkuhnya berkata: "Anggap saja pesawat kami tamu di negara anda".

Kemudian Erdogan menjawab: "Tidak ada tetamu tanpa diundang".

Menurut Erdogan lagi, rakyatnya amat terganggu dengan pernyataan Putin.

"Rusia selama ini berdalih terbang di atas langit Turki kononnya untuk gempur ISIS. Tetapi saya katakan daerah itu bukan kekuasaan ISIS melainkan di bawah kuasa mujahid Suriah anti Assad. Ini bukti nyata siapa musuh Rusia sebenarnya di Suriah.

"Putin menuduh saya melakukan islamisasi di Turki. Saya tegaskan rakyat Turki 99 peratus muslim dan pernyataan Putin itu sangat melucukan.

"Kami juga tidak berfikiran kolot untuk melakukan jual beli minyak dengan ISIS.

"Saya harap Putin menyiapkan semua bukti atas tuduhannya terhadap Turki bekerjasama dengan ISIS. Kami menolak semua tuduhan tanpa bukti terhadap Turki," ujar Erdogan.

Beliau dalam pidatonya juga menjelaskan, sedia untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden sekiranya tuduhan Putin itu dapat dibuktikan.

"Saya akan mengundurkan diri daripada jawatan Presiden. Kita bersedia berhadapan dan tidak takut dengan sesiapapun.

"Pihak yang menghalang bantuan kemanusiaan untuk saudara kami sama ertinya mereka bermain api.

"Saya sangat mengharapkan Rusia mengadakan perundingan bersama membicarakan banyak perkara demi kelangsungan hubungan dua hala antara Turki dan Rusia," ujarnya.

Saya hanya takut kepada Allah, kata Erdogan selepas Turki tembak pesawat Rusia

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan bertegas tidak akan membiarkan negara manapun menceroboh ruang negara itu dan hanya takut kepada Allah selepas tentera Turki menembak jatuh pesawat tempur Rusia yang menceroboh ruang udaranya. 

Beliau berkata demikian pada 27 November lalu ketika menyampaikan pidato heroic di hadapan lautan massa di kota Bayburt daerah Timur Laut negara itu.

Katanya, beliau tidak akan membiarkan sesiapapun mengganggu atau merancang terorisme di bumi Turki.

"Berulang kali saya tegaskan, Turki hanya takut kepada Allah yang satu. Turki tidak akan tunduk selain kepadaNya.

"Turki pewaris peradaban yang besar dan kami akan mempertahankan warisan itu dengan memohon kekuatan dari Allah S.W.T.

Sumber yang dipetik dari Turki Al-Yaum itu memetik Erdogan berkata, negara itu tidak akan membiarkan pesawat tempur negara manapun melanggar kedaulatan Turki apa lagi dalam konflik terkini insiden penembakan pesawat Rusia ke atas negara itu.

Apabila Presiden Rusia Vladimir Putin dengan angkuhnya berkata: "Anggap saja pesawat kami tamu di negara anda".

Kemudian Erdogan menjawab: "Tidak ada tetamu tanpa diundang".

Menurut Erdogan lagi, rakyatnya amat terganggu dengan pernyataan Putin.

"Rusia selama ini berdalih terbang di atas langit Turki kononnya untuk gempur ISIS. Tetapi saya katakan daerah itu bukan kekuasaan ISIS melainkan di bawah kuasa mujahid Suriah anti Assad. Ini bukti nyata siapa musuh Rusia sebenarnya di Suriah.

"Putin menuduh saya melakukan islamisasi di Turki. Saya tegaskan rakyat Turki 99 peratus muslim dan pernyataan Putin itu sangat melucukan.

"Kami juga tidak berfikiran kolot untuk melakukan jual beli minyak dengan ISIS.

"Saya harap Putin menyiapkan semua bukti atas tuduhannya terhadap Turki bekerjasama dengan ISIS. Kami menolak semua tuduhan tanpa bukti terhadap Turki," ujar Erdogan.

Beliau dalam pidatonya juga menjelaskan, sedia untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden sekiranya tuduhan Putin itu dapat dibuktikan.

"Saya akan mengundurkan diri daripada jawatan Presiden. Kita bersedia berhadapan dan tidak takut dengan sesiapapun.

"Pihak yang menghalang bantuan kemanusiaan untuk saudara kami sama ertinya mereka bermain api.

"Saya sangat mengharapkan Rusia mengadakan perundingan bersama membicarakan banyak perkara demi kelangsungan hubungan dua hala antara Turki dan Rusia," ujarnya.